Thursday, November 20, 2008

Kit Siang: Jawatan Menteri Kementerian Perumahan dan kerajaan Tempatan kosong?

KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini mempersoalkan status jawatan menteri bagi Kementerian Perumahan dan kerajaan Tempatan yang dianggap 'kosong' berdasarkan laporan media yang mengatakan penyandang jawatan itu, Datuk Seri Ong Ka Chuan telah menghantar surat perletakan jawatan.

"Tak ada sesiapa pun tahu sama ada wujudnya kekosongan jawatan Menteri di kementerian tersebut kerana berdasarkan laporan, Ka Chuan telah hantar surat perletakkan jawatan kepada Presiden MCA hujung bulan lalu," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, di sini.

Kit Siang yang juga merupakan Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, keadaan tersebut bermaksud dalam tempoh tiga minggu sebelum ini negara menghadapi situasi ketiadaan menteri bagi kementerian terbabit.

"Maksudnya kita menghadapi keadaan seperti tiada menteri untuk tempoh tiga minggu dan sama ada beliau menghadiri mesyuarat Kabinet atau tidak, tiada siapa yang tahu," katanya.

Media hari ini melaporkan bahawa Ka Chuan telah menghantar surat perletakan jawatannya dan menyerahkan kepada pengurusan parti bagi menentukan kedudukannya dalam Kabinet.

Pada pemilihan MCA Oktober lalu, Ka Chuan tewas kepada bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden parti.

Menurut Kit Siang, kontroversi perletakan jawatan tersebut perlu dijelaskan dengan segera kerana ia melibatkan kepentingan negara dan masyarakat.

"Sama ada beliau letak jawatan atau tidak, perlu dijelaskan tanpa perlu ditangguh.

"Mungkin presidennya, Ong Tee Keat nak simpannya (surat letak jawatan) untuk kepentingan parti, tapi ini melibatkan kepentingan negara, beliau perlu serahkan kepada Perdana Menteri supaya jawatan itu boleh diisi," katanya.

Jelas beliau, jika benar Ka Chuan telah menghantar surat perletakan jawatan tersebut seperti yang dilaporkan, maka Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu mengambil langkah segera bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut.

Ka Chuan kini berada di Tehran sejak Isnin lalu bagi melakukan lawatan rasmi selama seminggu dan dijangka pulang ke Malaysia hujung minggu ini.

Selain itu, Kit Siang turut mempersoalkan mengenai penyertaan Ka Chuan dalam lawatan tersebut.

"Adakah itu lawatan rasmi kementerian? Jika benar, bagaimana pula beliau hantar surat letak jawatan?" katanya.

No comments: