Tuesday, November 25, 2008

Gobind digantung sidang dua hari

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo digantung daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat berkuatkuasa hari ini kerana mempertikaikan keputusan Timbalan Yang Dipertua, Datuk wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi sebelum itu memutuskan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz tidak perlu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berhubung kenyataannya dalam Dewan bahawa bekas-bekas hakim yang terlibat dalam krisis kehakiman 20 tahun lalu telah ditamatkan perkhidmatan lebih awal seperti saranan panel yang telah bersidang berhubung kes tersebut dan bukan dipecat oleh kerajaan.

Wan Junaidi membuat ketetapan tersebut apabila Gobind bangun dan membantah keras keputusan beliau itu serta menuduhnya membuat keputusan secara bias.

Gobind juga dalam bantahannya mendesak agar Nazri mengemukakan permohonan maaf secara terbuka di dalam Dewan atas kesilapan fakta berhubung status hakim-hakim berkenaan yang sememangnya dipecat.

Isu ini timbul apabila Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) sebelum ini meminta supaya Nazri dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mendakwa apa yang dikatakan oleh ahli Parlimen Padang Rengas itu pada 6 November lalu di dalam Dewan sebagai perkara yang tidak benar dan satu pembohongan besar.

Ketika itu, Nazri mengumumkan kerajaan telah membayar ex-gratia berjumlah RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Salleh Abas dan lima hakim kanan yang terlibat semasa krisis itu.

Mohd Salleh menerima bayaran tertinggi dengan RM5 juta, Wan Suleiman (RM2 juta), George Seah (RM2 juta) manakala Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Tan Sri Azmi Kamaruddin masing-masing mendapat RM500,000.

Dalam pada itu, Gobind yang ditemui di luar Dewan kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh Wan Junaidi itu yang dianggap berat sebelah.

"Ini seoalah-olah sama ada speaker bertindak untuk melepaskan menteri, kalau menteri tak minta maaf dan buat penjelasan dalam Dewan, bagaimana speaker tahu apa yang menteri ingin kata," katanya.

Malah beliau tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat speaker hanya berdasarkan penjelasan terbuka Nazri kepada media di luar Dewan pada 13 November lalu.

"Saya bangkit untuk tanya jika beliau sedia minta maaf di luar Dewan, mengapa tak berani minta maaf dalam Dewan.

"Tapi seperti biasa kalau pembangkang tanya soalan, kami akan diarah keluar," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa beliau sedia digantung dari menghadiri persidangan Dewan Rakyat kerana mempertahankan prinsip demi kepentingan rakyat.

"Tak mengapa, dua hari tidak mengapa, kami berdiri sebab prinsip untuk rakyat.

"Kalau kena gantung sebab laksanakan tugas, saya sedia menerima...tak ada masalah," katanya.

Ini merupakan kali kedua Gobind digantung atas kesalahan yang sama iaitu membantah dan mempertikaikan arahan Speaker Dewan Rakyat.

Sunday, November 23, 2008

Harga minyak sepatutnya RM1.52!

Mohd Khalil Abdullah
Sun | Nov 23, 08 | 5:24:53 pm MYT

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Hrkh) -Ketua Menteri Pulau Pinang,Lim Guan Eng menyeru Menteri Kewangan, Dato' Seri Najib Tun Razak agar menurunkan harga petrol kepada RM1.52 seliter memandangkan harga minyak dunia ketika ini adalah AS$50 setong.

Iklan

"Ini ialah harga di pam apabila harga minyak berada berada di bawah AS$50 setong pada tahun 2005,"kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, penurunan ini wajar,adil dan bertanggungjawab daripada menunggu dua minggu lagi untuk melaksanakannya.

"Selain daripada membayar subsidi kerajaan juga akan dapat jimat lebih RM10 bilion jika harga kekal stabil,"dakwanya.

Tambahnya, kegagalan untuk menurunkan harga minyak hanya akan menimbulkan persoalan iaitu kenapakah kerajaan boleh bertindak cepat untuk menaikkannya tetapi agar sukar untuk menurunkannya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Shahrir Samad semalam berkata, harga minyak mungkin akan turun 15 sen lagi menjelang akhir bulan ini berikutan dengan penurunan harga minyak dunia. - mks

Saturday, November 22, 2008

Ketua Pemuda DAP tidak pertahan jawatan

IPOH: Ketua Pemuda DAP Nga Kor Ming yang juga anggota exco Kerajaan Negeri Perak hari ini mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan sayap parti itu 6 Disember ini.

"Ini merupakan masa terbaik untuk saya melepaskan jawatan...banyak kejayaan yang telah Pemuda DAP kecapi sejak saya berada di sayap ini pada tahun 2003," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di pejabat DAP Perak di sini hari ini.

Nga yang juga Anggota Parlimen Taiping dan Anggota Dewan Undangan Negeri Pantai Remis turut memegang jawatan sebagai Naib Bendahari DAP dan Setiausaha DAP Perak.

Nga berkata masanya adalah sangat sesuai bagi beliau menyerahkan kepimpinan kerana kedudukan sayap berkenaan begitu stabil dan banyak barisan pemimpin yang mampu menggalas cabaran untuk menerajui sayap itu.

"Pemuda DAP tiada sebarang tanggungan hutang dan prestasi semua calon berada di tahap yang terbaik...(lepas jawatan) bukan kerana faktor usia. Umur saya 36 tahun dan had umur maksimum adalah 40 tahun," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nga yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Awam negeri menyangkal laporan sebuah akhbar semalam bahawa cadangan lawatan rombongan Ahli Majlis Daerah Teluk Intan ke Langkawi akan melibatkan kos sebanyak RM50,000.

"(Sebenarnya) Kerajaan Negeri telah mengarahkan lawatan itu dibatal kerana merugikan peruntukan yang boleh diguna untuk pembangunan...tetapi perbelanjaan itu hanya RM23,000 dan bukanlah seperti yang disiarkan," katanya. BERNAMA

Friday, November 21, 2008

Anwar yakin satukan parti utama pembangkang Sabah, Sarawak hadapi pilihanraya


KOTA KINABALU: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin dapat menyatukan semua parti utama dalam barisan pembangkang di Sabah dan Sarawak untuk meletakkan seorang calon sahaja menentang calon Barisan Nasional (BN) di setiap kawasan pada pilihanraya umum akan datang.

Katanya formula seumpama itu, yang diilhamkan oleh PKR, DAP dan Pas di semenanjung, ternyata telah membawa kejayaan yang besar kepada pakatan pembangkang dalam pilihanraya umum lepas.

"Di Sabah dan Sarawak, memang ada calon (daripada pakatan) yang bersaing sesama sendiri yang mengakibatkan perpecahan undi untuk parti pembangkang.

"Inilah yang kita mahu elakkan," katanya selepas merasmikan pusat khidmat masyarakat untuk kawasan Kota Kinabalu di Jalan Damai, Luyang dekat sini hari ini.

Menjawab soalan, Anwar berkata usaha mempelawa Parti Maju Sabah (SAPP), yang keluar daripada BN baru-baru ini, untuk menyertai Pakatan Rakyat sedang dibuat dan mengesahkan yang beliau sudah menemui presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee hari ini.

"Apa yang penting, kita mahu wujudkan pakatan pembangkang yang kuat di Sabah dan Sarawak seperti yang diperlihatkan oleh Pakatan Rakyat di semenanjung pada pilihanraya Mac lepas," katanya.

Mengenai persediaan menghadapi pilihanraya kecil parlimen Pensiangan, Anwar berkata sekiranya pilihanraya kecil itu diadakan, PKR akan tetap meletakkan calon untuk bertanding bagi kerusi itu. BERNAMA


Thursday, November 20, 2008

Kit Siang: Jawatan Menteri Kementerian Perumahan dan kerajaan Tempatan kosong?

KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini mempersoalkan status jawatan menteri bagi Kementerian Perumahan dan kerajaan Tempatan yang dianggap 'kosong' berdasarkan laporan media yang mengatakan penyandang jawatan itu, Datuk Seri Ong Ka Chuan telah menghantar surat perletakan jawatan.

"Tak ada sesiapa pun tahu sama ada wujudnya kekosongan jawatan Menteri di kementerian tersebut kerana berdasarkan laporan, Ka Chuan telah hantar surat perletakkan jawatan kepada Presiden MCA hujung bulan lalu," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, di sini.

Kit Siang yang juga merupakan Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, keadaan tersebut bermaksud dalam tempoh tiga minggu sebelum ini negara menghadapi situasi ketiadaan menteri bagi kementerian terbabit.

"Maksudnya kita menghadapi keadaan seperti tiada menteri untuk tempoh tiga minggu dan sama ada beliau menghadiri mesyuarat Kabinet atau tidak, tiada siapa yang tahu," katanya.

Media hari ini melaporkan bahawa Ka Chuan telah menghantar surat perletakan jawatannya dan menyerahkan kepada pengurusan parti bagi menentukan kedudukannya dalam Kabinet.

Pada pemilihan MCA Oktober lalu, Ka Chuan tewas kepada bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden parti.

Menurut Kit Siang, kontroversi perletakan jawatan tersebut perlu dijelaskan dengan segera kerana ia melibatkan kepentingan negara dan masyarakat.

"Sama ada beliau letak jawatan atau tidak, perlu dijelaskan tanpa perlu ditangguh.

"Mungkin presidennya, Ong Tee Keat nak simpannya (surat letak jawatan) untuk kepentingan parti, tapi ini melibatkan kepentingan negara, beliau perlu serahkan kepada Perdana Menteri supaya jawatan itu boleh diisi," katanya.

Jelas beliau, jika benar Ka Chuan telah menghantar surat perletakan jawatan tersebut seperti yang dilaporkan, maka Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu mengambil langkah segera bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut.

Ka Chuan kini berada di Tehran sejak Isnin lalu bagi melakukan lawatan rasmi selama seminggu dan dijangka pulang ke Malaysia hujung minggu ini.

Selain itu, Kit Siang turut mempersoalkan mengenai penyertaan Ka Chuan dalam lawatan tersebut.

"Adakah itu lawatan rasmi kementerian? Jika benar, bagaimana pula beliau hantar surat letak jawatan?" katanya.

Tuesday, November 18, 2008

Retreat sulung Pakatan di ibu negara hari ini

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat, ikatan pembangkang yang ditubuhkan April lalu, mengadakan retreat - yang pertama sejak pilihan raya umum ke-12, di ibu negara hari ini.



Pertemuan informal itu yang disertai ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat, antara lain bertujuan membincangkan usaha merapatkan ikatan wakil-wakil rakyat pembangkang.

mStar Online difahamkan pertemuan ini bertujuan menyusun strategi Pakatan Rakyat untuk menghadapi beberapa isu semasa termasuk isu sasaran 16 September dijangka menjadi tumpuan.

Ia merupakan siri pertemuan dua kali. Pertemuan kedua dijadual diadakan minggu depan.

"Pertemuan hari ini adalah retreat yang pertama sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih sebagai Ketua Pembangkang... mahu adakan group binding, bertujuan merapatkan kerjasama di kalangan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat," kata Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution kepada mStar Online.

Saifuddin yang juga anggota Sekretariat Pakatan Rakyat berkata, majoriti ahli Parlimen pembangkang akan menghadiri pertemuan hari ini.

"Kira-kira 10 ahli Parlimen tidak dapat hadir hari ini, ada yang kini berada di luar negara.. di Kuwait, Paris dan sebagainya," katanya.

Pakatan Rakyat diumumkan pembentukannya selepas pembangkang menafikan majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Anwar pula dipilih Ketua Pembangkang menggantikan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selepas memenangi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos lalu.

Anggota komponen Pakatan Rakyat kini terdiri daripada PKR, DAP dan PAS melibatkan 81 anggota.

PKR mempunyai 31 anggota di Dewan Rakyat, DAP (28) dan PAS pula 22.

Kini, Barisan Nasional (BN) mempunyai 138 kerusi. Tiga lagi kerusi adalah milik Bebas termasuk dua yang dipegang Parti Maju Sabah (Sapp).

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, pertemuan peringkat Pakatan Rakyat ini adalah susulan retreat yang diadakan PAS di Langkawi dua minggu lalu dan PKR di ibu negara minggu lalu.

"Ini retreat peringkat Pakatan Rakyat, melibatkan ahli-ahli Parlimen," katanya.

Bagaimanapun beliau enggan menyatakan sama ada pertemuan hari ini akan membincangkan aspek-aspek berbangkit, yang berkaitan dengan soal sasaran menubuhkan kerajaan persekutuan yang tidak menjadi kenyataan 16 September lalu.

"Itu saya tidak mahu saya sebut," katanya.

Karpal gesa Ketua Hakim Negara letak jawatan

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Karpal Singh hari ini menggesa Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi supaya meletak jawatan secara terhormat dalam masa tujuh hari berkuat kuasa hari ini.


Karpal yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, beliau membuat gesaan tersebut atas kapasiti Pengerusi Kaukus Integriti dan Kebebasan Kehakiman, berikutan kenyataan Zaki dalam satu persidangan integriti di Kuching pada 7 November lalu bahawa beliau pernah memberi rasuah

"Tiada ada keraguan lagi yang Tan Sri Zaki berkata perkara berikut : 'Ia mengambil masa enam bulan untuk menjadi baik, merasuah setiap individu supaya diterima semula sebelum fail-fail kami dilihat semula. Itu adalah adalah pengalaman peribadi saya, dan saya memberitahu perkara ini kepada semua kerani dan pendaftar supaya menghentikan perkara karut ini'.

"Tan Sri Zaki tidak boleh dan tidak seharusnya menafikan yang beliau telah mengungkap perkara itu," katanya kepada media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Karpal berkata, beliau mempunyai rakaman audio berhubung apa yang dikatakan Zaki itu namun enggan memberitahu daripada rakaman tersebut diperolehi.

Karpal berkata, penjelasan Zaki berhubung isu tersebut yang disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris juga adalah satu pembohongan yang mencerminkan kekurangan integriti dirinya.

"Dalam memberikan kenyataan itu, beliau (Zaki) telah mengelirukan seluruh negara. Justeru, beliau bukanlah orang yang layak memegang jawatan Ketua Hakim yang telah memalukan institusi kehakiman," katanya.

Karpal berkata, jika Zaki tidak meletak jawatan dalam tempoh yang diminta, beliau tidak ada alternatif lain selain membuat usul terhadap Zaki di bawah Artikel 127, Perlembagaan Persekutuan kerana telah mengelirukan negara dengan apa yang dipanggil Zaki sebagai penjelasan.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 8 November lalu menyiarkan sebuah artikel berhubung pengakuan Azmi yang pernah menghadapi masalah korupsi di dalam mahkamah.

Pada hari berikutnya, Zaki membuat penjelasan dalam akhbar yang sama bahawa apa yang dikatakan beliau telah disalah tafsir oleh wartawan akhbar terbabit dan beliau tidak pernah memberi atau menerima rasuah.

Sementara itu, Karpal turut meminta Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) supaya menyerahkan nama ahli-ahlinya yang berminat untuk menyertai kaukus kehakiman.

Beliau berkata, kenyataan Pengerusi BNBBC bahawa hanya jawatan timbalan pengerusi kaukus dibuka kepada BN adalah salah.

"Pakatan Rakyat mempunyai 81 ahli dalam Parlimen. Hanya 55 tandatangan ahli Parlimen yang diperlukan bagi membentuk satu perempat daripada ahli Parlimen untuk membuat usul berhubung kelakuan seorang hakim di bawah artikel 127," katanya.

Pada Khamis lalu, Karpal telah membuat laporan polis berhubung kenyataan Zaki di Balai Polis Dang Wangi, di sini.

Dalam laporannya, Karpal menggesa pihak polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menjalankan satu siasatan lengkap di bawa Akta Pencegahan Rasuah 1961 berhubung kenyataan yang dibuat Zaki.

Karpal memfailkan laporan polis tersebut setelah usulnya supaya Dewan Rakyat membahaskan mengenai kenyataan terbuka Zaki itu ditolak buat kali kedua pada hari sebelumnya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul tersebut mengikut Peraturan Mesyuarat 18(7)c) kerana ia melanggar syarat-syarat dalam Peraturan Mesyuarat.